Adegan anak maki ibu di Facebook
SAYA terkilan dengan situasi seorang ibu yang dimaki depan khalayak ramai berdekatan bengkel membaiki kereta di Pusat Komersial Shah Alam pada minggu lalu.
Sepasang suami isteri bertindak memarahi dan memaki hamun ibunya hanya kerana ibunya berasa takut akibat kereta yang dinaiki mereka perlu menyusuri bukit untuk ke bengkel berkenaan.Ibunya yang nekad keluar dari kereta itu dimarahi depan khalayak ramai sehinggakan wanita tua itu menggigil dan menangis ketakutan dan tidak dihiraukan anak mereka. Malah, pasangan suami isteri itu mencerca dan meninggalkan wanita tua itu bersendirian setelah kejadian itu dileraikan anggota polis yang bertugas berdekatan dengan tempat kejadian. Akhirnya, wanita tua berkenaan dibawa ke balai polis berdekatan oleh seorang peniaga yang berjaja di kawasan itu.
Orang ramai yang menyaksikan drama ‘anak derhaka’ berkenaan, terkesima dengan tindakan pasangan suami isteri itu sehingga ada yang merakam kejadian terbabit dan melahirkan rasa tidak puas hati dan marah dengan tindakan pasangan suami isteri itu di laman sosial, Facebook. Ia bertajuk ‘Kami benci pompuan gemuk dan suami dia yang maki mak dia di pusat komersial’ di bawah kategori minatan awam yang membolehkan sesiapa saja mempunyai akaun dalam laman sembang ini memberikan komen mereka.
Apa sudah jadi dengan manusia kini? Sudah hilang rasa hormat terhadap ibu bapa? Benarlah kata orang, seorang ibu mampu menjaga 10 orang anak, 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu. Sebagai seorang anak, menjadi tanggungjawab kita membalas budi ibu bapa yang bersusah payah menjaga kita daripada kecil. Hargailah orang yang tersayang, jangan kemudian hari nanti baru kita kesal dengan perbuatan kita sendiri.
tonton video kejadian ni:- http://www.facebook.com/group.php?gid=120163747996801&ref=search&sid=1167537923.3614673672..1 Source: http://www.hmetro.com.my