Perlukah duit syiling baru?


Ada sesetengah pendapat mengatakan duit syiling baru 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen membawa masalah kepada pengguna sekarang, kerana mesin bayar dan peraga (mesin letak kereta) masih menggunakan saiz syiling lama.
Namun, masalah tersebut dikesan bukanlah masalah sejagat atau menyeluruh kerana terdapat pengusaha yang sudah bersedia menghadapi fenomena edaran syiling baru yang lebih comel itu. Ia bukan sesuatu yang tidak dijangka kerana Bank Negara sudah membuat makluman, lebih enam bulan lalu.
Sehubungan itu, Sinar Harian membuat tinjauan terhadap dua buah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan mesin bayar dan peraga di beberapa kawasan di Selangor.
Ketua Pengarah Operasi syarikat Godell Parking Sdn Bhd, Usman Ali Mustafa berkata, syiling baru sememangnya tidak mendatangkan masalah kepada pengguna di kawasan yang diurus oleh syarikatnya, meliputi jajahan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Daerah Kuala Langat dan beberapa petak di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, selepas dimaklumkan Bank Negara berkenaan edaran syiling baru, syarikatnya telah memprogram semula dan menaik taraf sekurang-kurangnya 2,000 mesin di sekitar kawasan Selangor dan DBKL untuk tujuan syiling baru.
“Proses itu merangkumi pemprograman semula dan pemasangan perisian, menaik taraf pungutan syiling, pemasangan di lokasi, penentuan ukuran kerana syiling baru berbeza berat dan saiz, termasuk membuat ujian dan pengesahan.
“Namun, pengubahan ini bukan melibatkan kos yang kecil sebaliknya menelan belanja kira-kira RM2.2 juta kerana semua peralatan memprogram semula diimport dari Perancis.
Tambahan pula, melibatkan lebih 40 jurutera syarikat yang bertanggungjawab memprogram semula semua mesin.
“Syarikat tanggung sendiri kos berjuta-juta itu, bukan ada subsidi daripada kerajaan,” ujar Usman Ali.
Menurutnya, pihaknya mengam­bil langkah pantas supaya memudahkan pengguna dan hasilnya, semua mesin milik syarikatnya kini boleh menerima syiling lama dan baru.
“Oleh itu, tidak ada masalah bagi pengguna di kawasan yang diuruskan oleh syarikat saya,” tegas beliau.
Bagaimanapun, hasil tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan di Shah Alam mendapati, kebanyakan mesin tidak boleh menerima syiling baru. Malah ada yang diletakkan notis “mesin ini tidak boleh menerima duit syiling baru”.
Orang awam dikenali sebagai Man berkata, mujurlah dia ada membawa duit syiling lama, jika tidak pasti menjadi masalah kerana mesin masih tidak boleh menerima syiling baru.
Berhubung keadaan itu, Sinar Harian mendapatkan maklum balas daripada syarikat yang bertanggungjawab, Suasa Efektif (M) Sdn Bhd berhubung isu syiling baru ini.
Pegawai Perhubungan Awam dan Pemasarannya, Rosli Mat Zin berkata, bahagian operasi syarikatnya kini sedang menjalankan proses program semula ke atas semua mesin secara berperingkat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah dimaklumkan syarikat berkenaan sedang memprogramkan semula setiap mesin secara berperingkat.
“Kami difahamkan, Suasa Efektif sedang melaksanakan proses itu dan diharap selesai dalam tempoh yang cepat untuk kemudahan orang ramai,” katanya.
Perlukah duit syiling baru? Perlukah duit syiling baru? Reviewed by Drama Malaysia, Waktwo on April 09, 2012 Rating: 5
Powered by Blogger.