Berguru Dengan Buku = Berguru Dengan Syaitan...?

Tuesday, January 1, 2013 10:18 AM Posted by Lagend TV
Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

“ Sesiapa sahaja yang belajar menerusi buku / kitab bermakna dia belajar dan berguru dengan syaitan “. Ini di antara kata-kata yang sering kita dengar .

Marilah kita meneliti kata-kata ini dengan mengikuti perbahasan mengenainya sebagai mana berikut :

AKAL VS KATA-KATA INI : 

Kalaulah benar kata-kata “ Sesiapa sahaja yang belajar menerusi buku / kitab bermakna dia belajar dan berguru dengan syaitan “ , adakah ini bermakna : “ Setiap guru adalah ma’asum ( suci drp dosa-dosa ) laksana Para Malaikat a.s dan Para Anbiya’ a.s “ ??? .

Dan adakah kata-kata ini juga membawa makna : “ Sesiapa sahaja yang belajar secara berguru maka ilmunya dijamin betul dan tepat dengan kehendak Allah Ta’ala dan Rasul-Nya s.a.w ? “ .

Jawapan yang pasti ditemui oleh kita semua terhadap soalan-soalan itu ialah : SUDAH TENTU TIDAK !!! .

DRP MANAKAH SUMBER KATA-KATA INI ? : 

Yang pasti ianya bukanlah sabda Baginda Rasulullah s.a.w dan bukan juga berasal daripada Para Sahabat r.a .

Para Ulama’ rh yang muktabar ( yang boleh dijadikan panduan umat ) mempunyai berbagai pendapat mengenai daripada manakah datangnya kata-kata di atas dan mereka mencari-cari daripada manakah sumbernya kata-kata :

“ Sesiapa sahaja yang belajar menerusi buku / kitab bermakna dia belajar dan berguru dengan syaitan “

Kata-kata ini terdapat di dalam Kitab “ Haq at-Toriqoh “ dan “ Syarh Usul Tahqiq “ ~ Tetapi tidak dinyatakan pula daripada manakah asal-usulnya kata-kata itu . 

Kata-kata itu juga tidak dimasukkan ke dalam kitab-kitab hadist yang terkenal seperti “ Sunan Sittah “ , “ Mausu’ah Atrofil Hadist “ , “ Al-Jamie’ al-Kabir Lis Suyuthi “ , “ Al-Mu’ujam al-Mufahras Li Alfazil Hadis an-Nabawi “ , “ Miftah Kunuz as-Sunnah “ dan selainnya .

Asy-Syeikh Mahmud ‘Abdul Rauf al-Qasim menyatakan di dalam kitabnya “ Al-Kasyfu ‘An Haqiqah as-Sufiyyah Li Awwal Marrah Fit Tarikh “ menyatakan bahawa kata-kata itu dan yang seumpama dengannya adalah berasal daripada tokoh-tokoh Tasawwuf , di antaranya :

{ a } ~ Al-Imam as-Saiyid Ahmad ar-Rifai’e ( rh ) .

{ b } ~ Al-Imam Abu Yazid al-Bustomi ( rh ) .

{ c } ~ Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali ( rh ) .


SIKAP KITA TERHADAP KATA-KATA INI :
Kata-kata manusia biasa ( selain Baginda Rasulullah s.a.w ) sudah tentulah boleh diterima dan boleh ditolak , dan inilah merupakan satu kata-kata hikmah yang pernah diucapkan oleh Al-Imam Malik rh , Imam Negeri Hijrah ( Al-Madinah al-Munawwarah ) satu ketika dahulu . 


Diterima kata-kata itu apabila bersesuaian dan tepat dengan ajaran Al-Quranul Karim dan As-Sunnah as-Sahihah , dan ditolak sesuatu teori , kata-kata dan pendapat apabila bertentangan dengan kedua-dua sumber tertinggi perundangan dan ilmu umat Islam itu .

Begitu juga , sesuatu kata-kata dan pandangan itu sudah tentu boleh diterima apabila dihuraikan ( disyarahkan ) bersesuaian dengan kehendak syariat Islam itu sendiri , dan ia akan ditolak dan dilempar jauh-jauh apabila dihuraikan dengan cara yang bertentangan dengan kehendak agama Islam itu sendiri .

Demikianlah juga sikap kita terhadap kata-kata :“ Sesiapa sahaja yang belajar menerusi buku / kitab bermakna dia belajar dan berguru dengan syaitan ”.

Namun, Tidaklah kita menolak sesuatu kata-kata itu secara totok ataupun semberono apabila ia tidak bersumber daripada Baginda Rasulullah s.a.w , kerana masih banyak lagi kata-kata para cendekiawan yang kita terima kerana mengandungi hikmah dan ilmu pengetahuan .


Bilakah sesuatu ilmu itu perlu dituntut secara berguru ? : 

1 – Bagi mereka yang berada di peringkat asas dan menengah . Dimulakan dengan mempelajari muqaddimah ( pendahuluan ) yang berkaitan dengan sesuatu ilmu yang bakal dipelajari . Di masa ini jugalah para pelajar dikenalkan dengan berbagai istilah agar mudah mereka mempelajari secara mendalam mengenai sesuatu ilmu itu apabila mereka belajar di peringkat tinggi .

2 – Bagi kanak-kanak ataupun orang-orang yang baru diperkenalkan sesuatu ilmu , sudah tentulah di saat ini mereka perlu kepada si guru ataupun pembimbing . Seperti belajar ABC dan belajar cara sembahyang .


Bilakah sesuatu ilmu itu boleh didapati tanpa perlu secara berguru ? : 

1- Bagi mereka yang telah mempunyai asas-asas ilmu yang kukuh dan kuat .

2 – Bagi mereka yang berada di peringkat tinggi , mereka boleh membaca mana-mana buku pengajian yang telah pun mereka pelajari asas-asasnya sebelum ini dengan kemas-kukuh . Guru-guru ( tuan-tuan guru , para pensyarah ) hanyalah menjadi sumber rujukan apabila para pelajar peringkat ini mendapati beberapa masalah yang sukar difahami ataupun apabila mereka memerlukan huraian yang panjang lebar terhadap isi sesuatu buku .


Kebaikan Berguru Secara Langsung : 

1 – Mudah dan cepat memahami sesuatu topik .

2 – Boleh dilakukan soal-jawab secara bertubi-tubi secara langsung tapa perlu menunggu lama .

3 – Si Guru yang mahir sudah tentu boleh memperbandingkan isi sesuatu kitab / buku yang di baca oleh muridnya dengan kitab-kitab lain yang masih belum dibaca oleh muridnya itu dan guru itu juga boleh menambah dengan beberapa dalil dan keterangan lagi sebagai penjelas dan pelengkap .

4 – Si Guru boleh membetulkan cara bacaan si murid sama ada yang berkaitan dengan Ilmu Tajwid ataupun Tatabahasa Bahasa Arab ( Nahu dan Sorof ) . Selain itu si guru juga boleh membetulkan beberapa fakta , baris-baris tulisan Arab dan sebagainya yang mungkin disebabkan kesilapan si penulis buku / kitab ataupun kesilapan mesin cetak .

5 – Hubungan di antara si guru dengan muridnya lebih rapat dengan cara ini .


Kebaikan Berguru Menerusi Bahan Bacaan ( Kitab / Buku / Majalah / Halaman Web Ilmiah ) : 

1 – Sesuatu fakta yang dikemukakan di dalam bentuk tulisan lebih cermat dan teliti , kerana si penulis mempunyai masa yang agak panjang untuk menyatakan bahan rujukan bagi sesuatu artikel ilmiah . Walhal kalau belajar secara berguru , belum tentu lagi si guru itu ingat sesuatu fakta itu bersumber drp mana , di dalam buku apa , jilid keberapa , halaman keberapa dan terbitan mana ? .

2 – Adanya bahan bertulis , lebih meyakinkan lagi para pelajar berbanding dengan semata-mata kata-kata guru-gurunya ( kerana boleh jadi guru itu tersasul , terlupa , terkeliru dan seumpamanya ) .

3 – Bahan bertulis memberikan masa yang agak panjang kepada si pelajar sehinggakan boleh diulang-ulang semula pembacaan terhadap sesuatu topik yang dirasai agak sukar . Sedangkan kalau secara “ direct “ berguru , mungkin guru akan berasa tidak senang kerana asyik diajukan soalan yang sama .

4 – Bahan bertulis memberikan peluang menambah ilmu-pengetahuan kepada mereka yang tidak berpeluang berguru secara langsung . Contohnya : Mereka yang sibuk dengan tugas sehinggakan kadang-kadang tiada masa untuk belajar di masjid-masjid ataupun di surau-surau , masih boleh menampung sedikit kekurangan itu dengan selalu menjenguk web al-Ahkam.online dan mana-mana halaman web ilmiah .

Inilah secara ringkas kelebihan belajar sesuatu ilmu itu menerusi guru secara langsung ataupun menerusi sesuatu bahan bacaan secara langsung .

Setiap cara ini ada kebaikan dan ada kekurangan . Dan tentulah kekurangan yang ada pada kedua-dua cara dan sistem ini boleh dilenyapkan apabila kelebihan dan kebaikan kedua-dua cara dan sistem ini disatukan .

PENDEK KATA :

“ Belajar sesuatu ilmu secara berguru merupakan satu sistem yang paling ampuh dan kukuh , akan tetapi bukan semua ilmu itu hanya boleh didapati menerusi berguru semata-mata dan anggaplah bahan-bacaan itu sebagai sokongan dan tambahan bagi ilmu yang didapati secara berguru tadi “ . 


Sekian . Semoga Ada Manfaatnya Bersama .
Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

**************************************** 

blog comments powered by Disqus
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...