Tuduh IBU sial...

Wednesday, May 12, 2010 7:55 PM Posted by Viral Sohor
KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan ibu ceria diraikan anak dan keluarga masing-masing sempena sambutan Hari Ibu hari ini, ada ibu yang merintih serta meratapi nasib malang mereka selepas dianiayai zuriat sendiri.
"Dia (anak) menerkam saya hingga saya terjatuh. Bagai dirasuk syaitan, dia naik atas belakang saya, pegang rambut dan menghantuk muka saya ke lantai berulang kali" > Besah Aminah, 80, kini menghabiskan sisa hidup di sebuah pusat jagaan selepas dipinggirkan tiga anaknya kerana dituduh membela hantu raya dan membawa sial manakala Halimah, 87, pula berada di situ selepas ‘dibuang’ anaknya di perhentian bas. Di Kelantan pula, Zawiah, 56, masih dihantui peristiwa dua tahun lalu apabila tangannya menerima 15 jahitan selepas dikelar anaknya manakala Besah, 63, hampir pengsan apabila kepalanya dihantukkan ke lantai simen oleh anaknya yang ketagih dadah, kira-kira dua tahun lalu. Ikuti kisah mereka selanjutnya: KES 1: “BERKALI-KALI saya dibawa berjumpa bomoh yang menuduh saya membela hantu raya hingga menjadi punca keluarga anak saya kerap sakit. Bermacam-macam rawatan mengarut terpaksa saya terima, termasuk diberi makan benda pelik hingga muntah. “Selain selalu dimarahi dan dimaki, anak sulung saya yang terlalu percayakan bomoh mengurung saya di bilik bahagian dapur dan selepas enam bulan dikurung dia menghantar saya ke pusat jagaan orang tua,” kata Aminah kepada Metro Ahad. Mengimbas lanjut latar belakang hidupnya, Aminah berkata, pada mulanya dia tinggal seorang diri di rumahnya di Ipoh, Perak selepas kematian suami lebih tiga tahun lalu. Bagaimanapun, anak sulungnya mengajaknya tinggal bersama mereka di Selangor. Katanya, selepas dua tahun duduk bersama anaknya yang berkeluarga dan mempunyai empat anak, dia kerap sakit dan tidak larat bergerak serta perlukan bantuan untuk ke mana-mana. “Saya selalu pening dan sengal di badan sampai tidak larat bangun. Pelbagai ubat saya makan tapi tak berkesan. Akhirnya menantu menghantar saya mendapatkan khidmat rawatan tradisional ketika anak saya ke luar negara. “Tindakan itu menambah derita saya apabila bomoh menuduh saya membela hantu raya. Saya mengucap panjang dan menafikan tuduhan itu, tetapi apakan daya kerana menantu lebih percaya cakap bomoh,” katanya. Berikutan itu Aminah dikurung di dalam bilik dengan alasan khuatir hantu yang dibela mengganggu cucunya hinggalah anak lelakinya pulang dari luar negara. “Waktu anak saya balik, saya ingat dapatlah mengadu nasib kepadanya tetapi lain pula terjadi. Dia lebih percaya cakap isterinya dan terus mengurung saya di dalam sebuah bilik di dapur. Saya hanya diberi makan sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada malam,” katanya. Aminah berkata, selama dikurung kira-kira enam bulan, dia berulang kali dibawa berjumpa bomoh dan setiap kali ‘dirawat’ dia semakin terseksa kerana diberi makan benda pelik hingga muntah. “Bila saya terangkan secara baik kepada anak yang saya tidak pernah membela hantu, saya dimarahi dan dimaki kerana dikatakan cuba menipu dan memberi alasan tidak mahu dipisahkan dengan hantu yang dibela. “Sudahlah dikurung, saya dibiarkan saja dalam bilik dan tidak dibenarkan bergaul dengan cucu sekalipun. Saya hanya dilayan oleh pembantu rumah,” katanya. Kemuncak penganiayaan terhadap Aminah, satu hari anak lelakinya menghantarnya ke sebuah pusat jagaan orang tua selepas berbohong dengan berkata ingin membawanya berubat di tempat lain. Aminah berkata, walaupun kecewa dengan sikap ketiga-tiga anaknya, dia masih tetap menerima mereka jika insaf dan sedar perbuatan mereka. “Hanya Allah tahu perasaan saya, tetapi saya selalu berdoa semoga mereka diberi petunjuk oleh Allah dan saya sedia memaafkan mereka,” katanya yang tinggal di pusat jagaan itu sejak lebih setahun lalu. KES 2: SETIAP kali tiba tarikh sambutan Hari Ibu, Zawiah terkenang sejarah hitam dua tahun lalu apabila menerima 15 jahitan di lengan akibat dikelar dengan pisau oleh anak lelakinya. Suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Amin turut dipukul dengan kayu besbol ketika cuba menyelamatkan nyawa isterinya. Mengimbau detik cemas kejadian itu, Zawiah berkata, ia berlaku ketika dia dan suami baru selesai menjamah sarapan pagi di rumah. Katanya, ketika sibuk mengemas pinggan di dapur, anak lelaki sulungnya berusia 27 tahun dikenali sebagai Zul serta cucu tunggal mereka berusia sembilan tahun tiba di rumah untuk bersarapan. “Itu menjadi kebiasaan mereka selepas Zul bercerai dengan isterinya. Sebelum itu, apabila bekas menantu bercerita mengenai sikap Zul dan pembabitannya dalam penagihan dadah, saya tidak percaya kerana dia anak yang baik. “Namun tanggapan saya berubah selepas menjumpai beberapa biji pil dan ‘buku lima’ dalam poket seluar Zul ketika mahu membasuh pakaiannya kira-kira sebulan sebelum kejadian. Apapun, saya dan suami tidak berani bertanya perkara itu berikutan dia baru bercerai. “Namun, sikap berdiam diri kami membawa padah apabila Zul tiba-tiba ‘mengamuk’ tengah hari itu selepas dipercayai berada dalam pengaruh dadah jenis pil kuda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, Kelantan. Menurutnya, Zul menyerangnya secara tiba-tiba dengan sebilah pisau tanpa diketahui punca sebenar. “Saya menahan serangannya, menyebabkan lengan saya luka teruk akibat dikelar,” katanya yang kini menjaga anak Zul selepas anaknya dipenjarakan di atas kesalahan itu. Lebih mengecewakan Zawiah, pada malam (kejadian) itu dia dan suami sepatutnya dibawa keluar oleh seorang lagi anaknya untuk makan di sebuah restoran di bandar ini sempena sambutan Hari Ibu. “Namun segala-galanya berubah sekelip mata apabila kami berdua terlantar seminggu di hospital akibat kejadian itu. “Sempena Hari Ibu, saya berdoa ke hadrat Ilahi semoga Zul insaf sebaik dibebaskan dan sebagai ibu, saya sentiasa memaafkannya walaupun parut di lengan masih berbekas,” katanya. KES 3: “BIAR kau mampus cepat, orang tua!” Itu antara kata-kata anak lelaki tunggalnya yang menghantui fikiran Besah, 63, walaupun peristiwa itu berlaku lebih setahun lalu. Bagi Besah, kejadian kepalanya dihantukkan ke lantai dapur oleh anak sehingga lebam dan bengkak seluruh muka tidak akan dilupai hingga ke akhir hayat. “Semuanya akibat dadah. Sejak kecil, saya dan suami menjaganya seperti menatang minyak yang penuh. Malang akibat terlalu sayang, saya tidak menyekat pergerakannya, menyebabkan dia menjadi liar dan ingin kemewahan sedangkan kami keluarga miskin,” katanya. Besah berkata, dia menyedari anaknya terjebak dengan dadah ketika bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) selepas perangainya berubah daripada pendiam kepada seorang yang mudah naik angin. Katanya, walaupun tahu anaknya menagih dadah, dia dan suami tidak melaporkannya kepada polis kerana tidak mahu anaknya merengkok dalam penjara, selain enggan mengaibkan nama keluarga. “Kami pernah hantar dia tinggal bersama bapa saudaranya di Rantau Panjang, namun hanya bertahan seminggu apabila dia pulang ‘mengejut’ ke rumah. “Sejak hari itu perangainya semakin menjadi-jadi dan paling mengejutkan, dia sanggup menjual seekor lembu milik ayahnya kepada seorang penduduk kampung dengan harga RM300 semata-mata untuk membeli dadah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan. Paling kritikal, Besah akhirnya menjadi mangsa ‘dera’ anaknya. Ketika kejadian, dia seorang diri di dapur manakala suami, anak sulung serta dua lagi anaknya keluar bekerja dan bersekolah. “Dia tiba-tiba muncul dan meminta wang RM100 dengan alasan hendak membeli pakaian. Saya tahu tujuan sebenarnya nak beli dadah, jadi saya membebel dan merayunya berhenti menagih dadah. “Tanpa disangka dia menerkam saya hingga saya terjatuh. Bagai dirasuk syaitan, dia naik atas belakang saya, pegang rambut saya dan menghantuk muka saya ke lantai berulang kali. “Saya menjerit kesakitan dan merayu supaya dia berhenti tapi dia tak peduli, malah muka saya terus dihantuk ke lantai hingga hidung berdarah. Syukur, ketika itu suami pulang dan menyelamatkan saya,” katanya. Besah berkata, anaknya melarikan diri dan hanya pulang ke rumah seminggu selepas kejadian. Kini dia bekerja sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur selepas gagal dalam SPM dan hanya pulang sekali ke kampung, Aidilfitri tahun lalu. KES 4: “SAYA dibuang macam sampah di perhentian bas,” kata seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Halimah, 87, menceritakan punca dia kini menumpang kasih di sebuah pusat jagaan orang tua. Ibu malang itu berkata, biarpun hanya anak angkat, dia menjaganya dengan penuh kasih sayang sejak masih bayi, justeru tidak terlintas di fikirannya anak perempuannya tergamak berbuat demikian. “Bila dia tinggalkan saya, saya menjerit memanggil namanya tapi dia tak hiraukan, sebaliknya memecut laju kenderaannya,” katanya. Halimah berkata, lebih menghairankannya, anak perempuannya berusia 40-an itu berkahwin dengan imam dan tentu suaminya turut mengajarnya ilmu agama. “Sebab itu saya tidak tahu di mana silapnya sehingga anak saya sanggup membuang saya seperti sampah walaupun tangan ini yang membesar dan menjaganya,” katanya. Halimah berkata, selain seorang anak angkat perempuan, dia turut mempunyai tiga anak kandung lelaki tapi ketiga-tiga anaknya juga tidak ambil berat mengenai dirinya. “Sebab itu saya tinggal dengan anak angkat saya tapi akhirnya dia juga membuang saya,” katanya. Selepas ditinggalkan di perhentian bas, Halimah terpaksa ‘menginap’ empat bulan di hospital kerana tiada siapa tampil untuk menjaganya dan akhirnya dia dihantar ke rumah orang tua. Ketika ditanya adakah dia akan memaafkan anaknya, Hanijah berkata, dia sudi menerima semula mereka biarpun selepas apa mereka lakukan terhadapnya kerana baginya, mereka itulah hartanya di dunia dan akhirat. SUMBER DIPETIK DARIPADA:- myMetro

blog comments powered by Disqus
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...